Home Isu Semasa

Hampir Pengsan Selepas RM30,000 Wang Simpanan di Tabung Haji Lesap

4019
0

KUCHING: Seorang bekas pegawai kerajaan mengalami kerugian melebihi RM30,000 setelah wang dalam akaun Tabung Haji beliau disyaki dipindahkan ke akaun individu lain dan dikeluarkan melalui mesin juruwang automatik (ATM) sejak tahun 2018. Walau bagaimanapun, kehilangan wang itu hanya dikesan oleh Datuk Jabidah Monseri, 66, pada 30 November tahun lepas. Menurut Jabidah, selepas bersara sebagai Timbalan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 2017, beliau ditawarkan jawatan baru sebagai Pengerusi Unimas Holdings, sebuah anak syarikat Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

“Pada 2019, saya dilantik pula sebagai ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Sarawak dan saya bertambah sibuk apabila perlu kerap bergerak di seluruh negeri sehingga saya terus tidak menyemak akaun Tabung Haji…”

Menurutnya, pada bulan November tahun lepas, dia kembali menjumpai buku akaun Tabung Haji tersebut.

“Saya kemudian ke pejabat Tabung Haji di Jalan Satok di Kuching untuk mengemas kini buku akaun saya itu…”

“Namun, saya hampir pengsan sebaik sahaja kerani yang membuat semakan memberitahu akaun saya hanya berbaki RM1,816.74, sedangkan wang saya di dalam akaun itu sepatutnya ada lebih RM31,000…”

Menurutnya, semakan lanjut pada penyata terperinci akaunnya mengungkapkan bahawa wang simpanannya telah dikeluarkan melalui 30 transaksi bermula dari 26 Februari 2018.

Tujuh transaksi melibatkan pemindahan wang dari Tabung Haji ke beberapa akaun bank, manakala 23 transaksi lain melibatkan pengeluaran menggunakan mesin ATM.

Pertama, pemindahan ke akaun bank pada 26 Februari 2018 sebanyak RM10,000, disusuli dengan pengeluaran sebanyak RM1,000 pada tarikh yang sama menggunakan kad ATM.

Kemudian, enam lagi pemindahan dari Tabung Haji ke akaun bank dilakukan pada 11 Mac 2018 (RM5,000), 7 Mei 2018 (RM6,000), 21 Mei 2018 (RM5,000), 30 Mei 2018 (RM4,000), 27 Jun 2018 (RM3,500), dan 1 Januari 2019 (RM5,000).

Pengeluaran melalui mesin ATM bermula dari 26 Februari 2018 dan berterusan dengan 23 transaksi sehingga 21 Januari 2020, dengan jumlah pengeluaran antara RM1,000 hingga RM1,500 setiap kali.

Berikutan kejadian itu, Jabidah membuat laporan di Balai Polis Gita pada 1 Disember tahun lalu untuk menuntut tindakan daripada pihak Tabung Haji berhubung kes kehilangan wang tersebut.

Bagaimanapun, beliau merasa kecewa kerana sehingga kini, tidak ada maklum balas yang diterimanya daripada pihak Tabung Haji, walaupun sudah tiga bulan berlalu sejak laporan tersebut dibuat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here